Jump to content

Draft:Azhar Jalil

From Wikipedia, the free encyclopedia

Khairol Azhar bin Abd Jalil atau dikenali sebagai Azhar Jalil (lahir 6 Disember 1986) ialah seorang pelakon, pengacara, pelawak, penulis skrip dan penerbit di Malaysia. Beliau juga adalah bekas peserta Program Realiti Awesome Raja Lawak 2022. Mula bergiat dalam bidang teater sejak tahun 2000 sebelum menceburkan diri dalam bidang TV pada tahun 2011 sebagai pengacara.

Kehidupan awal

Azhar Jalil dilahirkan dan dibesarkan di Alor Setar, Kedah. Anak sulung daripada dua adik-beradik kepada pasangan Abd. Jalil bin Abd. Majid (lahir 1953) yang merupakan seorang guru dan Khairoh binti Syed Mohamed (1957-2012) yang juga merupakan seorang guru. Mula bersekolah di Sekolah Kebangsaan Taman Uda (1993-1998) dan menyambung Pelajaran peringkat menengah di Kolej Sultan Abdul Hamid (1999-2003). Sewaktu di sekolah menengah, Azhar Jalil aktif dalam dalam aktiviti kokurikulum. Beliau pernah mewakili sekolah dalam pertandingan pidato, perbahasan dan forum remaja sehingga berjaya menjuarai pertandingan bukan sahaja di peringkat negeri malah johan kebangsaan. Selain itu, beliau juga merupakan pengerusi pasukan pancaragam sekolah. Semasa di Kolej Sultan Abdul Hamid, beliau menerima Anugerah Iskandar (Anugerah Pelajar Terbaik) kerana pencapaian cemerlang dalam bidang akademik dan kokurikulum.

Azhar Jalil menyambung pengajian peringkat matrikulasi di Kolej MARA Kuala Nerang (2004-2005), Kedah. Sewaktu di matrikulasi, beliau dipilih menjadi salah seorang ahli Majlis Perwakilan Pelajar. Beliau juga mula aktif dalam bidang sukan apabila dipilih mewakili Kolej MARA dalam sukan bola sepak untuk Karnival Kolej Matrikulasi (KAKOM) seluruh Malaysia. Beliau juga mendapat Anugerah Pelajar Terbaik Matrikulasi. Kerana minat yang mendalam dalam bidang teater, Azhar Jalil menyambung pengajian ke Universiti Sains Malaysia (2005-2009) dalam bidang Seni Halus (Lakonan & Pengarahan). Beliau juga sangat aktif di universiti. Beliau merupakan kapten pasukan olahraga USM, ketua pasukan debat dan pengucapan umum USM, tukang karang pasukan boria USM. Beliau juga pernah bertanding dalam Pilihan Raya Kampus USM untuk konstituensi umum dan berjaya mendapat undian tertinggi seterusnya dilantik sebagai Naib Yang Dipertua Majlis Perwakilan Pelajar. Sepanjang pengajian di USM, beliau aktif menyertai pertandingan teater dan kerap kali memenangi anugerah pelakon terbaik, pengarah terbaik dan juara keseluruhan.

Kehidupan Peribadi

Sewaktu di sekolah rendah, ibu bapa kepada Azhar Jalil sering dipanggil ke sekolah kerana beliau selalu gagal dalam ujian lisan. Perkara ini berterusan sehingga ke sekolah menegah. Sebagai seorang guru, Encik Abd. Jalil telah memaksa beliau untuk menyertai pertandingan pidato untuk mengatasi perasaan malu untuk bercakap sehingga beliau menjadi juara pidato. Antara pencapaian peribadi tertinggi Azhar Jalil dalam bidang teater ialah ketika beliau dinobatkan sebagai Juara Pertandingan Monodrama DBP-IPT peringkat kebangsaan pada tahun 2012. Namun 5 minit sebelum giliran beliau, Azhar Jalil mendapat perkhabaran bahawa ibunya telah menghembuskan nafas yang terakhir. Disebabkan USM merupakan tuan rumah pertandingan pada ketika itu, demi menjaga nama baik tuan rumah, Azhar Jalil mengambil keputusan untuk meneruskan pertandingan dan akhirnya menjuarai pertandingan tersebut buat kali pertama. Azhar Jalil mendirikan rumah tangga bersama dengan Norfaradilla binti Halim dan dikurniakan dua orang cahaya mata iaitu Rania Zara dan Raisya Alya.

Kerjaya

Setelah tamat pengajian, Azhar Jalil berhijrah ke Kuala Lumpur dan menyertai beberapa produksi teater. Beliau juga terlibat dengan beberapa pementasan teater muzikal di Istana Budaya pada ketika itu selain menjadi pelakon ekstra untuk drama dan telefilem. Beliau memulakan kerjaya sebagai pengacara TV apabila dipilih melalui sesi ujibakat untuk sebuah rancangan terbitan Magic Dreams Media iaitu Kembara Irama. Nama ‘Azhar Jalil’ dipilih oleh penerbit rancangan tersebut iaitu Gibran Agi. Selain bidang seni, Azhar Jalil juga merupakan seorang Certified NLP Practitioner oleh American Board of NLP. Beliau sering membuat Program Team Development dan Personal Growth untuk syarikat-syarikat korporat dan swasta. Beliau kini berkhidmat sebagai Penerbit Eksekutif di KNKV Studios, salah sebuah anak Syarikat KNKV Group.

References

[edit]